RSS

Imam Al-Bukhari

RIWAYAT RINGKAS IMAM AL-BUKHARI

Imam Al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Turkestan. Bapanya meninggal dunia semasa ia masih kanak-kanak, dan ibunya membesarkan beliau bersendirian. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban apa sahaja untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau. Semasa kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika berumur 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan dia memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan cendekiawan di Makkah. Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w., dan selepas itu buku sejarah bertajuk “Al-Tarikh-al-Kabir”.

Imam Bukhari amat meminati sejarah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadis Rasulullah. Imam Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan lain-lain tempat untuk belajar dan membincangkan hadis-hadis yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam Bukhari selalu berbincang dengan Imam Ahmed Hanba, pengasas fahaman Mazhab Hanbali. Semasa pengembaraannya, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin boleh dikumpul untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan yang terbesar sunnah hadis Nabi Muhammad s.a.w. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika berkata “Saya sudah menulis mengenai 1800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadis Nabi Muhammad s.a.w., dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang ditetapkan.” Imam Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan, dan sumbangannya terhadap sains pengumpulan hadis tidak dapat ditandingi. Dia merakamkan hadis Nabi Muhammad s.a.w. dalam buku “Al-Jami-al-Sahih”. Dia membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.

Kemasyhuran Imam Bukhari menimbulkan perasaan iri hati di kalangan beberapa orang ulama yang akhirnya mengakibatkan beliau diusir dari bumi [[Bukhara]] oleh Gabenornya. Dia mati dalam buangan pada malam Aidilfitri dalam tahun 256 Hijrah di Khartank dekat Samarkand. Makam Imam Al-Bukhari terletak 12 kilometer di utara Samarkand.

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: